Pertahanan tengah Manchester United, Phil Jones percaya bahawa ramai pemerhati telah kembali mengambil serius cabaran skuad itu selepas menjadi bahan jenaka semasa di bawah kendalian pengurus Portugal, Jose Mourinho.

Selepas kedatangan legenda kelab Ole Gunnar Solskjaer, United kini telah memenangi sepuluh daripada 11 perlawanan dan beliau juga telah dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik bagi bulan Januari, kali terakhir yang dimenangi pengurus Manchester United ketika dipimpin oleh Sir Alex Ferguson.

Dan kini dikhabarkan bahawa beliau akan memegang jawatan panas itu secara tetap setelah berjaya memikat hati pihak atasan kelab Manchester merah itu.

Permulaan cemerlang Solskjaer berterusan apabila mudah menumpaskan Fulham 3-0 yang menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat liga buat kali pertama sejak liga berlangsung pada bulan Ogos lalu.

Phil Jones

 

Semasa Mourinho dipecat daripada menjadi pengurus, mereka ketinggalan 11 mata daripada pasukan di tangga keempat dan Phil Jones yang mengecap kemanisan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2013 percaya mereka telah kembali.

“Ianya merupakan perlawanan yang sukar bagi kami namun kami begitu yakin kami akan mencapainya (kedudukan empat terbaik)’, kata beliau ringkas.

“Kami hanya perlukan konsistensi dan mengutip sebanyak mana mata yang boleh dalam setiap perlawanan”.

Ditanya adakah ia akan menjadi suatu sokongan dari segi psikologi untuk berada di kedudukan empat terbaik, beliau menambah:

“Ya, sangat bermakna. Semua pasukan kini memandang serius terhadap pasukan ini. Kami mungkin menjadi bahan jenaka pada permulaan musim namun perkara itu tidak berlaku lagi”.

Untuk rekod, United telah mengumpulkan 25 mata dalam sembilan perlawanan di bawah kendalian Solskjaer – hanya kurang satu mata sewaktu Mourinho mengendalikan pasukan dalam 17 perlawanan pusingan pertama liga.

Jones sendiri kemudiannya telah bersetuju menurunkan tandatangannya bagi melanjutkan kontrak sehingga 2023 dengan pilihan tambahan satu musim sebelum perlawanan menentang Fulham baru-baru ini.

Biarpun mendapat banyak reaksi yang berbeza tentang lanjutan kontrak itu, beliau dengan tenang berkata:

“Saya tidak ambil peduli terhadap apa yang mereka katakan (kritikan) tentang saya. Ianya lumrah dalam bola sepak. Saya telah mendapat kecaman pada masa lalu dan akan menerimanya pada masa hadapan. Saya tidak kisah”.

“Saya mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa membantu. Saya kini beraksi untuk Manchester United dan telah diberikan kontrak baru. Ianya merupakan satu perkara yang hebat dan saya sangat bersyukur”.

Beliau juga kekal tenang apabila ditanya tentang kebarangkalian kelab itu membawa masuk nama-nama baru pada jendela perpindahan yang akan datang.

“Saya tidak gentar. Semenjak saya datang ke sini, kelab telah membawa masuk penyerang, pertahanan dan penjaga gol. Kelab ini ialah Manchester United, ianya perkara biasa dikaitkan dengan pemain berkelas dunia. Saya hanya akan terkejut apabila kelab tidak berbuat demikian (membeli pemain).

Sumber: Skysports

Artikel oleh: Firdaus Zulkepli

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 71 times, 1 visits today)

Leave a Reply