Bekas penyerang Spurs, Darren Bent berpendapat peluang bekas majikannya itu untuk mengekalkan Son Heung-min akan menjadi sukar jika beliau terus mempamerkan aksi yang memukau.

Bent berpendapat penyerang kelahiran Korea Selatan itu akan menjadi sasaran utama kelab-kelab besar pada pintu perpindahan seterusnya apabila berterusan menjadi kunci kepada kecemerlangan skuab berpengkalan di kota London itu.

Pemain berusia 26 tahun itu sedang menikmati antara musim terbaiknya di Liga Perdana Inggeris (PL) apabila telah menjaringkan 11 gol dan melakukan lima bantuan gol dalam 20 perlawanan.

Statistik itu telah membantu skuad pimpinan pengurus Argentina, Mauricio Pochettino menjadi salah satu pencabar kejuaraan liga dan hanya dibezakan lima mata dengan dua pasukan teratas, Manchester City dan Liverpool.

Keputusan 3-1 menentang Leicester City telah memastikan pasukan utara London itu berada dalam saingan tiga penjuru bersama dua seteru utama mereka itu.

Lebih menggembirakan Pochettino apabila Son sendiri telah memahatkan namanya sebagai penjaring gol ketiga dalam perlawanan yang turut menyaksikan kapten pasukan, Hugo Lloris bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti Jamie Vardy.

Bagi Bent, yang pernah menyarung jersi putih Tottenham Hotspur dari tahun 2007 sehingga 2009 itu memuji Son sebagai pemain yang serba boleh.

 

Beliau juga berpendapat bahawa prestasi mantap yang ditunjukkan Son sebenarnya telah menjadikan beliau antara sasaran panas pada musim perpindahan nanti.

“Beliau seorang pemain menakjubkan yang mampu menghadirkan ancaman apabila beraksi, dan boleh menyudahkan peluang menggunakan kedua-dua belah kakinya”, ujar bekas penyerang England itu.

“Satu perkara yang mungkin dirisaukan Spurs ialah potensi untuk kehilangan pemain seperti Son pada masa hadapan”.

“Beliau bukan sahaja mampu menjaringkan gol, tetapi juga mampu menghadirkan ancaman melalui visi dan kreativi yang dimilikinya. Beliau juga disenangi bukan sahaja oleh rakan sepasukannya malah turut mudah didekati oleh para penyokong. Itu yang membuatkan beliau disayangi”, tambah Bent.

Sementara itu, melihatkan kepada prestasi semasa skuad kendalian Pochettino ini, bekas pemain yang berusia 35 tahun ini memuji bagaimana cara pengurus itu mengendalikan skuad yang rata-rata dibarisi oleh pemain yang masih muda.

Beliau merasakan Pochettino telah berjaya mengatasi beberapa masalah yang dirasakan pada mulanya akan mengganggu musim Spurs pada kali ini seperti kekurangan pembelian pemain baru dan juga masalah kecederaan jangka panjang pemain-pemain utama.

“Kehilangan Dele Alli, Harry Kane dan Son yang ketika itu beraksi di Piala Asia, ramai yang beranggapan Spurs akan menghadapi masalah. Namun, mereka berjaya mengekalkan konsistensi dengan memenangi hampir setiap perlawanan”.

“Ianya merupakan ujian dan Pochettino telah berjaya melepasinya. Harry Kane merupakan antara salah seorang penyerang terbaik dunia dan pemain lain berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau”.

Selepas ini, Spurs akan berdepan ujian getir apabila turun berdepan satu lagi pasukan yang menikmati musim yang hebat dalam Bundesliga, Borussia Dortmund dalam perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah.

Mampukah Son Heung-min dan rakan-rakan mencipta satu lagi kejayaan selepas melepasi ranjau sukar semasa peringkat kumpulan dahulu?

Son Heung-Min; Tottenham Hotspur

Ketajaman penyerang Korea, Son Heung-Min sangatlah ditagih ketika ketiadaan Harry Kane dan Dele Alli

 

Adakah Mauricio Pochettino mampu meletakkan trofi kejuaraan ke dalam kabinet piala Spurs yang sudah lama berhabuk?

Menarik untuk kita saksikan.

Sumber: Goal.com

Artikel oleh: Firdaus Zulkepli

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 210 times, 1 visits today)

Leave a Reply