Danny Guthrie, bekas pemain tengah Newcastle United selama empat tahun, dan sudah membuat 103 penampilan Liga Perdana Inggeris (PL) bersama empat kelab yang berbeza, bermula musim 2006/07 sehingga 2012/13.

Selain Newcastle United, dia bermain di PL bersama Liverpool, Bolton Wanderers, dan Reading.

Kami, LPIMY, diberikan peluang untuk menemubual peminat setia Liverpool ini di pejabat Astro Sport di Petaling Jaya.

Dalam bahagian kedua artikel ini, Danny Guthrie berkongsi pengalamannya bermain di Indonesia, dan berkongsi pendapat mengenai kelab kesayangannya iaitu Liverpool.

Liga Perdana Inggeris Malaysia (LPIMY): Anda merupakan salah seorang bekas pemain bolasepak Liga Perdana Inggeris yang menyambung karier bermain di Indonesia. Ceritakan pengalaman terbaik dan terburuk semasa berada di sana?

Danny Guthrie (DG): Di Indonesia, yang terbaik adalah cabaran baharu untuk diri saya, belajar budaya baru. Keluarga saya datang ke sini bersama dua anak saya.

Yang terburuk? Tidak boleh kata yang terburuk, tapi perkara yang agak sukar untuk saya menyesuaikan diri adalah masa perjalanan ke setiap perlawanan.

Indonesia sangat besar, kadang-kala terpaksa menaiki tiga penerbangan untuk perlawanan di tempat lawan. Berbanding di England, lebih kecil dan penerbangan hanya mengambil masa lebih kurang sejam untuk ke mana-mana stadium.

Danny Guthrie; Mitra Kukar

Danny Guthrie pernah bermain dengan kelab Indonesia, Mitra Kukar pada tahun 2018.

 

LPIMY: Makanan yang paling anda gemari di Indonesia?

DG: Saya suka menu makanan ayam, jadi saya sangat suka makan sate ayam. Anak-anak saya suka makan nasi goreng. Dan isteri saya lebih berani kerana dia sudah mula menggemari sambal.

Saya rasa sambal terlalu pedas untuk saya.

Kamu boleh mendapatkan sate ayam di England.

Begitu juga dengan nasi goreng, tetapi ianya tidak seasli seperti di sini.

LPIMY: Adakah anda rasa akan ada dua atau tiga pasukan yang akan mencabar kejuaraan liga musim ini?

DG: Saya rasa tiga pasukan akan bersaing untuk menjuarai PL musim ini.

Saya tahu tidak ramai yang meramalkan Tottenham untuk menjuarainya, tetapi mereka kini berada di tangga ketiga liga.

Anda tidak boleh katakan Tottenham tidak berada dalam buruan untuk memenangi liga. Sudah tentu mereka bukan pasukan pilihan, tetapi mereka boleh mengekalkan permainan mereka, walau dengan kecederaan Harry Kane dan Dele Alli.

Dan apabila Kane dan Alli kembali ke skuad, mereka akan menjadi pasukan yang sangat merbahaya.

Bagus juga menjadi pasukan yang jarang dibicarakan dalam media, yang pastinya mengurangkan tekanan dalam setiap perlawanan.

Seperti yang berlaku pada Liverpool, yang akan turun menentang West Ham United (ketika temubual ini, Liverpool belum bermain menentang West Ham), dalam keadaan tertekan kerana Manchester City sudah memenangi perlawanan mereka.

Tetapi saya harap Liverpool akan memenangi liga.

LPIMY: Kenapa anda mahukan Liverpool menjuarai PL musim ini?

DG: Liverpool merupakan kelab kesayangan saya. Sudah lama untuk pasukan yang sangat berjaya, telah menjuarai pelbagai kejuaraan pada tahun 70-an dan 80-an, tidak memenangi liga lagi.

Mereka sudah hampir memenanginya dua, tiga kali, dan ini merupakan skuad terbaik Liverpool yang kita dapat lihat berbanding tahun-tahun yang lalu.

Ini merupakan peluang terbaik Liverpool untuk menjadi juara PL.

LPIMY: Liverpool mempunyai dua pemain berkelas dunia iaitu Virgil van Dijk dan Mohamed Salah? Apakah akan terjadi dengan baki musim Liverpool jika salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan yang panjang?

DG: Liverpool akan menerima akibat yang sangat teruk. Sangat teruk kalau kehilangan khidmat van Dijk.

Dia membuat perubahan yang besar untuk kelab sebagai satu pasukan. Dan di bahagian pertahanan kini dihimpit dengan isu kecederaan, (Joe) Gomez, (Trent) Alexander-Arnold masih mengalami kecederaan.

Begitu juga dengan Mohamed Salah kerana dia merupakan pemain terbaik Liverpool. Pemain yang diharapkan untuk mendapatkan gol. Kehilangan tiga pemain serangan utama, Salah, Sadio Mane, dan Roberto Firmino juga menyukarkan usaha Liverpool untuk memenangi perlawanan.

LPIMY: Walau tanpa Salah, Liverpool masih mampu memenangi perlawanan, tetapi perkara sama tidak berlaku jika van Dijk tidak bermain. Adakah ada pemain lain yang boleh menggantikan van Dijk buat masa ini?

DG: Tidak. Saya rasa tiada sesiapa boleh menggantikan van Dijk buat masa ini. Dia merupakan pemain terpenting Liverpool.

Mereka tidak mempunyai pemain untuk mengisi kekosongan atau mengambil alih peranan van Dijk.

Jika mereka kehilangan salah seorang dari tiga pemain serangan mereka, mereka boleh memasukkan Xherdan Shaqiri atau Daniel Sturridge.

Perkara yang sama tidak boleh berlaku jika kehilangan van Dijk, dan kelab akan berdepan masalah serius jika kehilangannya.

Virgil van Dijk; Liverpool

Danny Guthrie yakin Liverpool akan sengsara jika kehilangan khidmat dan karisma Virgil Van Dijk di bahagian pertahanan.

 

“Ikuti Stadium Astro di media sosial untuk mendapatkan maklumat terkini pemain bolasepak lagenda seterusnya yang akan hadir ke Kuala Lumpur”

 

Temubual oleh: Sofwan & Aizat Hanafi
Artikel oleh: Aizat Hanafi

Sila baca juga: [EKSKLUSIF] Danny Guthrie (Bahagia Pertama)

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 105 times, 1 visits today)

Leave a Reply