Pasukan polis Dorset telah mengesahkan identiti mayat yang dijumpai bersama serpihan pesawat adalah penyerang baru Cardiff City, Emiliano Sala.

Sala yang berusia 28 tahun dalam penerbangan ke Cardiff di dalam pesawat yang dikemudi oleh David Ibbotson, dilaporkan hilang di Selat Inggeris pada 21 Januari lalu.

Mayat Sala ditemukan pada lewat hari Rabu setelah usaha mengesan serpihan bangkai pesawat itu berjaya pada pagi Sabtu.

Polis Dorset telah mengesahkan identiti mayat yang dijumpai pada malam Khamis.

Sementara itu, Cardiff City telah mengeluarkan kenyataan rasmi selepas pengesahan itu.

“Kami turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Emiliano. Beliau dan David (juruterbang) akan sentiasa dalam ingatan kami”.

Juruterbang, Ibbotson yang berusia 59 tahun kelahiran Crowle dari North Lincolnshire, mengemudi pesawat ringan Piper Malibu itu yang kemudiannya terputus hubungan dengan menara kawalan pada 21 Januari.

Namun, mayat beliau masih belum dapat ditemui.

Misi pencarian rasmi sebenarnya telah dihentikan pada 24 Januari disebabkan pihak bertanggungjawab dari pelabuhan Guernsey melaporkan bahawa kemungkinan mangsa terselamat adalah sangat tipis.

Walaubagaimanapun, misi pencarian itu diteruskan apabila ejen Sala memulakan misi mengutip dana yang dapat mengumpul sejumlah £324,000 untuk membolehkan misi pencarian secara persendirian dilakukan. Misi ini kemudiannya diketuai oleh saintis marin dan pakar kaji lautan, David Mearns.

Bekerjasama bersama Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (Air Accidents Investigation Branch), kapal beliau dan Geo Ocean III, memulakan misi pencarian seluas empat batu persegi di kawasan Selat Inggeris, 24 batu nautika utara Guernsey, kawasan dipercayai pesawat itu terhempas.

Beliau mengesahkan pesawat malang itu telah dikesan oleh sonar pada kedalaman 220 kaki sebelum alat menyelam dan kamera diturunkan untuk mengesahkan penemuan bangkai pesawat itu.

Semasa misi dilakukan, AAIB telah menggunakan kenderaan yang dikawal menggunakan alat kawalan bagi menjayakan misi tersebut dan tiada penyelam yang terlibat.

Emiliano Sala; Cardiff City

 

Mayat Sala yang dijumpai telah dialihkan terlebih dahulu sebelum serpihan bangkai pesawat itu bagi membolehkan mayat itu tiba di permukaan dengan sempurna.

Seterusnya usaha untuk mengumpulkan serpihan lain bangkai pesawat itu dilaporkan tidak berjaya, sebelum misi itu ditunda oleh sebab keadaan cuaca yang buruk.

“Ramalan kaji cuaca menunjukkan cuaca akan terus menjadi buruk dan keputusan untuk menghentikan operasi ini adalah amat sukar”, jelas AAIB dalam suatu kenyataan.

Sementara itu, diberitakan bahawa kelab lama Sala, FC Nantes telah menuntut supaya Cardiff City menjelaskan bayaran perpindahan sebanyak £ 15 juta.

Emiliano Sala merupakan pembelian termahal skuad dari Wales itu namun beliau tidak sempat untuk beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bayaran perpindahan itu sepatutnya dijelaskan secara berperingkat selama tiga tahun namun Cardiff City tidak akan berbuat demikian sehinggalah pihak mereka berpuas hati dengan laporan kemalangan yang melibatkan penyerang mereka itu.

Sumber: BBC Sport

Artikel oleh: Firdaus Zulkepli

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 1,688 times, 1 visits today)

Leave a Reply