Penyerang Southampton, Shane Long akhirnya menamatkan sembilan bulan penantian yang menyeksakan untuk tamatkan kemarau jaringannya, dengan menjaringkan gol kemenangan bagi skuad kendalian Ralph Hassenhuttl sewaktu menentang Leicester City.

Pemain Ireland itu mengambil peluang daripada kesilapan yang dilakukan oleh pemain tengah Leicester City, Nampalys Mendy sebelum menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan babak pertama di Stadium King Power.

Southampton; Shane Long

Shane Long menjaringkan gol pertamanya untuk Southampton musim ini.

 

Beliau mengakui kemarau jaringan itu saat yang sukar bagi dirinya, dan jaringan kemenangan itu akan memberikannya harapan supaya dikekalkan oleh Hasenhuttl di dalam kesebelasan utama skuad The Saints.

“Ianya sangat sukar. Saya bermain begitu baik dan mula mendapat rentak namun saya mengalami kecederaan buku lali yang memaksa saya berehat enam minggu”, ujar Long mengulas tentang kemarau jaringannya itu.

“Kembali semula ke dalam pasukan dengan pengurus baru, saya perlukan masa untuk menambat hati beliau. Tetapi, semua pemain berjaya membantu saya untuk beraksi pada perlawanan ini dan saya berasa bangga dapat menjaringkan gol kemenangan pasukan”.

“Kita ada penyerang yang bagus di kelab seperti Danny Ings dan Charlie Austin, apabila kamu tidak menjaringkan gol, sukar untuk mendapat peluang beraksi”, tegas Long.

Beliau sebenarnya kerap dikritik sejak kebelakangan ini kerana prestasi yang mengecewakan biarpun berjaya membantu pasukannya mendapatkan beberapa mata penting untuk keluar daripada zon penyingkiran.

“Saya tidak akan membiarkan perkara itu (kritikan) mengganggu saya. Saya tidak membaca artikel dan tidak langsung ambil peduli tentang cakap-cakap orang di luar”.

Sementara itu, pengurus The Saints, Ralph Hasenhuttl ternyata gembira dengan persembahan Shane Long namun berharap pemain itu akan meningkatkan lagi mutu persembahannya.

“Beliau cukup pantas dan bekerja kerasa dan sebagai seorang penyerang, beliau telah menjaringkan gol. Apa lagi yang perlu saya minta?”, jawab Hasenhuttl ringkas.

“Selepas pulih daripada kecederaan, beliau terus melangkah dan meningkatkan prestasinya”.

“Saya tahu beliau tidak mempunyai rekod jaringan yang bagus tetapi saya tahu sebelum ini beliau telah menjaringkan 10 atau 12 gol. Saya mahu membawa beliau kembali ke prestasinya yang lama”.

Southampton merupakan kelab Liga Perdana Inggeris (LPI) keempat Shane Long. Sebelum ini beliau pernah bermain di LPI bersama Reading, West Bromwich Albion, dan Hull City.

Dan rekod jumlah jaringan gol terbanyaknya dalam LPI adalah pada musim 2015/16, apabila dia menjaringkan 10 gol dari 25 penampilan liga bersama Southampton.

Dengan skuad yang kehilangan tujuh pemain disebabkan oleh tugasan antarabangsa di Piala Asia, penggantungan dan kecederaan, kemenangan itu memberikan satu inspirasi untuk seluruh skuad The Saints.

Tambahan pula, pengurus itu tidak akan dapat menggunakan khidmat pemain muda Perancis, Yan Valery yang diperintahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Di bawah kendalian jurulatih dari Austria itu, Southampton jelas menunjukkan peningkatan. Visi dan taktikal Hasenhuttl seakan sudah sebati dengan jiwa pemain-pemain. Biarpun tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan, mereka berjaya juga mendapatkan mata penting dalam perlawanan menentang Arsenal (menang 3-2), dan yang terbaru menentang Leicester City.

Perlawanan seterusnya menentang Everton di laman sendiri amat penting untuk Southampton terus menjarakkan diri daripada zon penyingkiran. Dan jelas Hasenhuttl mahu terus memperbaiki skuad kendaliannya itu dengan dimensi corak permainan yang menghiburkan.

Sumber: Daily Echo, southamptonfc.com

Artikel oleh: Firdaus Zulkepli

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 135 times, 1 visits today)

Leave a Reply