Kecederaan yang dialami oleh penyerang pasukan, Harry Kane pada hujung perlawanan semalam menggusarkan pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.

Selepas mengalami kekalahan 0-1 kepada Manchester United di tempat sendiri, pengurus warganegara Argentina tersebut mengakui pasukan bimbingan beliau akan mengalami masalah yang besar selepas Harry Kane berkemungkinan besar mengalami kecederaan pergelangan kaki yang agak serius.

Penyerang antarabangsa England tersebut mengalami kecederaan itu setelah diterjah lewat oleh pertahanan Manchester United, Vincent Lindelof, pada minit-minit terakhir perlawanan.

Harry Kane ternyata berada dalam keadaan yang membimbangkan selepas terjahan itu. Pochettino turut mengakui terjahan tersebut merupakan satu terjahan yang teruk, dan beliau amat bimbang mengenai keadaan Kane.

Tottenham Hotspur; Harry Kane

 

“Terjahan itu adalah satu terjahan yang berbahaya. Saya tahu dia tidak berniat buruk, tapi itu adalah satu terjahan yang agak bahaya.” jelas Pochettino.

Tambah beliau lagi: “Kakinya (Kane) turut bengkak dan kami harus melakukan penilaian dalam masa beberapa hari lagi. Saya harap ini bukan satu isu yang besar, namun amat jelas dia terhincut-hincut ketika keluar padang.”

Selain tewas kepada United serta berita kurang enak mengenai kecederaan Harry Kane ini, Spurs juga bakal kehilangan khidmat pemain antarabangsa Korea Selatan, Son Heung-min, yang dijangka akan melaporkan diri menyertai skuad kebangsaan negara itu yang sedang beraksi dalam saingan Piala Asia yang berlangsung di UAE.

Setelah bersetuju untuk terbang lewat untuk menyertai rakan sepasukan negaranya, Son bakal terlepas sekurang-kurangnya empat perlawanan di peringkat kelab.

Son bakal terlepas aksi saingan liga ketika Spurs dijadualkan menghadapi Fulham, Watford, dan juga Newcastle United, selain daripada aksi separuh akhir kedua Piala Carabao, menentang Chelsea.

Setelah menghadapi Chelsea, Spurs turut dijadualkan untuk bertemu Leicester City pada 10 Februari, dan tiga hari berikutnya, mereka akan berdepan saingan getir dalam aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang pendahulu Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund.

Adakah Spurs masih berbisa di bahagian serangan dalam beberapa perlawanan akan datang ini selepas kehilangan khidmat Harry Kane dan Son Heung-Min?

 

Artikel oleh : MFH

Ikuti kami juga di :

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 366 times, 1 visits today)

Leave a Reply