Mari kita lihat penilaian pemain-pemain Manchester City selepas tamat separuh musim pertama 2018/2019, dan apakah harapan pasukan ini dalam empat kejuaraan yang mereka tandingi setakat ini?

Adakah para pemain Man City mampu beraksi luar biasa, dan membolot empat kejuaraan sekaligus musim ini?

Teruskan bacaan anda di bawah…

 

PENJAGA GOL:

 

Ederson Moraes (8/10)

Manchester City

Sangat meyakinkan di pintu gawang City. Selesa bermain bola bersama barisan pertahanan dengan penuh ketenangan abadi. Penjaga gol yang sempurna untuk falsafah bermain dari bawah Pep Guardiola. Hanya percubaan gol yang hebat oleh pihak lawan boleh menewaskan Ederson.

 

Aro Muric (5/10)

Manchester City

Kehadiran fizikal Muric yang tinggi lampai membolehkan beilau menguasai petak penalti dan menangani hantaran lintang. Penjaga gol sandaran yang boleh diharap.

 

Claudio Bravo (Tiada Markah)

Manchester City

Foto: Getty Images

Tidak banyak beraksi kerana kecederaan jangka panjang. Penampilan tunggalnya bersama Manchester City musim ini hanyalah dalam perlawanan Community Shield menentang Chelsea pada Ogos tahun lepas.

 

PERTAHANAN:

 

Kyle Walker (7/10)

Manchester City

Menawarkan kepantasan overlap dan kebolehan membuat hantaran. Prestasi Walker agak merudum kebelakangan ini dengan beberapa kesilapan semasa bertahan. Mungkin kerana kurang mendapat rehat selepas beraksi di Piala Dunia.

 

Danilo (7/10)

Manchester City

Danilo sering berada di belakang Walker dalam pemilihan bek kanan namun dilihat sebagai pemain yang lebih baik dari segi pemainan bertahan. Juga memiliki kelebihan untuk bermain di kedua-dua belah sayap bek.

 

Benjamin Mendy (5/10)

Manchester City

Jika cergas sepenuhnya tidak dapat disangkal lagi Mendy ialah bek kiri terbaik pasukan City. Bukan setakat mantap bertahan malah membawa ancaman besar semasa menyerang dengan hantaran silang berbisa.

Tapi kecederaan berpanjangan melihat Mendy lebih banyak beraksi di laman maya berbanding di laman bola.

 

John Stones (9/10)

Manchester City

Stones semakin matang untuk menjadi pertahanan tengah yang sempurna untuk City. Cekap membaca serangan lawan dan tenang semasa memegang bola. Gandingan paling mantap ialah bersama Laporte yang juga memiliki kebolehan teknikal yang serupa.

Kebolehan bersama bola Stones begitu bagus sehinggakan Guardiola mencuba beliau di posisi tengah bertahan dan bek kanan.

 

Aymeric Laporte (9/10)

Manchester City

Pelengkap kepada Stones di bahagian sentral pertahanan Manchester City. Memiliki kebolehan yang serupa dengan Stones dalam membaca serangan dan memegang bola. Bezanya Laporte dominan di kaki kiri dan Stones dominan dengan kaki kanan. Juga boleh beraksi sebagai bek kiri.

 

Vincent Kompany (7/10)

Manchester City

Kecergasan dan faktor usia menjadi isu utama untuk Kompany. Walaupun tidak banyak bermain aura kepimpinan Kompany masih kuat di bilik persalinan City. Jika Kompany turun bermain semangat pasukan akan naik secara sendirinya.

 

Nicolas Otamendi (6/10)

Manchester City

Otamendi memiliki kepantasan, kekuatan fizikal, skil teknikal serta gaya bertahan berani mati. Pendekatan berani mati Otamendi sedikit sebanyak berjaya memikat hati para peminat namun beliau mesti berhati-hati kerana ia boleh memakan diri.

 

PEMAIN TENGAH:

 

Fernandinho (9/10)

Manchester City

Pemain Manchester City paling konsisten di sepanjang separuh musim. Boleh dikatakan Fernandinho adalah pemain terbaik City buat masa ini dengan gaya bermain kotak-ke-kotak yang membantu pasukan tatkala bertahan mahupun menyerang.

Malah beliau turut boleh diharapkan untuk menjadi pemain pertahanan. Tidak menghairankan kekalahan City kepada Crystal Palace dan Leicester City tiba semasa ketiadaan beliau.

 

Fabian Delph (8/10)

Manchester City

Memainkan Delph di posisi bek kiri boleh dikira sebagai antara penemuan paling genius Guardiola musim lepas.

Musim ini Delph dijangka kembali memanaskan bangku simpanan tapi ketiadaan Mendy yang cedera melihat Delph kembali dipanggil beraksi di bek kiri dan persembahan beliau jarang sekali mengecewakan.

 

Oleksandr Zinchenko (6/10)

Manchester City

Seorang pemain menyerang bersama Ukraine namun ketiadaan peluang untuk bermain di peranan tersebut memaksa Zinchenko bermain di bek kiri bersama City.

Memiliki peluang untuk berpindah di awal musim namun Zinchenko memilih untuk terus berkembang di bawah Guardiola.

 

Raheem Sterling (9/10)

Manchester City

Di bawah telunjuk Guardiola, Sterling semakin dekat untuk memenuhi potensi beliau sebagai seorang pemain bertaraf dunia. Gol dan bantuan gol terus dihasilkan Sterling untuk City.

 

Kevin De Bruyne (7/10)

Manchester City

Bekas pemain termahal Manchester City ini terbukti sebagai pembelian paling berbaloi selepas Sergio Aguero. Kecederaan semasa latihan di awal musim memaksa De Bruyne berehat lama namun kini sudah kembali dan dijangka menyuntik adrenalin untuk memacu City dalam pecutan separuh kedua musim ini.

 

Leroy Sane (9/10)

Manchester City

Foto: Reuters

Pemain lipas kudung ini adalah mimpi ngeri sebarang pemain pertahanan. Sane menawarkan kelebaran dan kepantasan kepada permainan City. Kelincahan Sane boleh merobek benteng sayap atau melemahkan formasi pertahanan pihak lawan. Namun kelemahan beliau ialah konsistensi.

 

Riyad Mahrez (7/10)

Manchester City

Gelaran sebagai pemain termahal Manchester City sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain sayap Algeria ini. Mahrez masih mencari rentak untuk bermain dengan gaya bola sepak Guardiola. Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti menentang Liverpool masih diungkit sehingga kini.

 

David Silva (9/10)

Manchester City

Sumber utama kreativiti pasukan City, Silva membolehkan gerakan mustahil menjadi kenyataan. Mengunci Silva bererti mematahkan serangan City. Silva bakal memotong rekod Joe Hart sebagai pemain City dengan penampilan terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris.

 

Bernardo Silva (8/10)

Manchester City

Bukan sekadar berkongsi nama keluarga dengan David Silva bahkan seolah-olah mempunyai hubungan telepati dengan David apabila bergandingan di bahagian sentral.

Kelincahan Bernardo mengingatkan peminat kepada Georgi Kinkladze. Entah apa nasib Bernardo bila De Bruyne kembali cergas sepenuhnya.

 

PENYERANG

 

Sergio Aguero (9/10)

Manchester City

Satu-satunya penyerang bertaraf dunia dalam skuad City. Kualiti Aguero terus terbukti dengan mengungguli carta penjaring gol. Apabila beliau berada di atas padang, para peminat pasti mengharapkan keajaiban.

 

Gabriel Jesus (7/10)

Manchester City

Bintang muda Brazil ini sudah menunjukkan kematangan untuk bermain di peringkat senior. Kepantasan berlari, penguasaan udara, kekuatan fizikal dan naluri gol yang tajam yang dimilikinya adalah acuan beliau untuk menjadi bintang masa depan City.

Namun musim ini Jesus bergelut dengan masalah keyakinan selepas prestasi hambar di kempen Piala Dunia.

 

POTENSI KEJUARAN 2018/19

 

Liga Perdana Inggeris: Tujuh mata di belakang Liverpool (bersama satu perlawnanan di dalam tangan). City tidak boleh leka dalam semua baki perlawanan atau lepaskan sahaja gelaran kepada Liverpool.

Liga Juara-Juara UEFA: Menjadi juara kumpulan bererti City berjaya mengelak kelab-kelab gergasi di pusingan kedua. City berpeluang cerah untuk mara ke suku akhir apabila diundi bertemu kelab Jerman, Schalke 04.

Piala FA: City masih dalam cabaran Piala FA selepas membelasah Rotherham United 7-0.

Piala Liga: City sudah sembilan jari kaki untuk berada di pentas akhir Piala Liga buat kali ketujuh selepas memusnahkan Burton Albion 9-0 di separuh akhir pertama.

Jika City berjaya mempertahankan gelaran juara maka mereka akan menjadi pemenang kedua terbanyak selepas Liverpool.

 

MARKAH KESELURUHAN PASUKAN: A

 

Artikel oleh: Amin Takumin

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 287 times, 1 visits today)

Leave a Reply