Felipe Anderson Pereira Gomes atau lebih dikenali sebagai Felipe Anderson dilahirkan pada tanggal 15 April 1993 di bandar Santa Maria, Brazil.

Beliau mula mencuri perhatian dunia apabila menyertai kelab yang berpengkalan di timur kotaraya London iaitu West Ham United dengan rekod perpindahan kelab yang bernilai £36 juta dari kelab Serie A Itali, Lazio.

 

Prestasi cemerlang Felipe Anderson bersama Lazio menarik minat West Ham United untuk membawanya ke kota London.

 

Dengan skil dan kepantasan yang memukau, tidak hairanlah beliau menjadi nama yang pertama berada di dalam kesebelasan utama skuad kendalian Manuel Pellegrini itu. Dan yang terbaru, beliau telah berjaya membantu pasukannya menamatkan rentetan kekalahan di tangan musuh setempat, Arsenal di gelanggang sendiri di Stadium London.

“Saya berpendapat bahawa beliau mempunyai kepantasan dan skil yang tinggi”, ujar Pellegrini.

“Pada awalnya mungkin beliau terlalu banyak menyimpan bola dan menyebabkan beliau agak sukar untuk menyesuaikan diri. Namun, saya sentiasa percayakannya dan beliau seorang pendengar yang baik.”

“Saya yakin pada separuh kedua musim ini, beliau akan menjadi lebih baik”, kata Pellegrini memuji.

Seperti kebanyakan remaja di Brazil, sebenarnya beliau mula bermain bola sepak di jalanan ketika usia remaja.

Pemain termahal The Hammers itu dilahirkan dan dibesarkan di bandar Santa Maria di mana di belajar bermain bola di kawasan kejiranan rumahnya. Dari situlah bermulanya perjalanan beliau dalam mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.

“Saya membesar dengan bermain di jalanan bersama rakan dan berpendapat ia mempengaruhi gaya permainan saya sekarang. Sekarang lihatlah dunia! Saya di Eropah mengejar impian saya”, kata pemain berusia 25 tahun itu.

“Semasa saya masih kecil, saya akan bermain di jalanan kerana di Brazil kanak-kanak hanya dibenarkan menyertai akademi apabila remaja. Saya bermain di jalanan sehingga usia saya mencecah 11 tahun”.

“Saya bermain di tempat yang kotor dan kemudian di padang. Apabila usia saya 13 tahun saya berpeluang masuk ke Santos dan di situ lah bermulanya kisah perjalanan saya menjadi pemain profesional”.

Selepas mencetus sensasi bersama kelab remaja Santos, beliau telah diberikan debut pertama pada usia 17 tahun dan telah memenangi Copa Libertadores and dua kejuaraan Liga Brazil pada usia hanya 20 tahun.

Beliau sangat bertuah dapat bermain bersama-sama Neymar, Alex Sandro dan Danilo. Keempat-empat mereka ini menjadi tunjang kekuatan Santos pada masa tersebut yang diketuai oleh bekas pemain tengah Manchester City iaitu Elano.

 

Felipe Anderson

Felipe Anderson (kanan) ketika bermain bersama Neymar (kiri) di Santos

Neymar telah berpindah ke Barcelona, Alex Sandro merubah angin ke Juventus, Danilo ke Porto dan Felipe Anderson sendiri telah mendapat peluang bermain di kota Rome yang penuh bersejarah bersama Lazio.

Lima musim penuh gemilang dihabiskan di Lazio. Secara keseluruhan, beliau telah beraksi sebanyak 124 kali dan menjaringkan 25 gol di Serie A. Beliau menjadi watak penting kepada kelab yang berpengkalan di Rome sebelum West Ham United datang melamar dengan tawaran yang sukar ditolak.

Berpindah ke London, matlamat beliau hanya satu, ingin menjadi hero kepada pasukan sama seperti ketika beliau berada di Santos dan Rome.

“Impian saya ialah ingin menjadi pemain terbaik dunia”, ujar beliau

“Sekarang saya berada di sini dan saya mahu menunjukkan kemampuan saya beraksi di dalam liga terbaik dunia. Saya telah belajar menjadi pemain yang bagus ketika di Itali. Saya masih ada jalan yang panjang tetapi menjadi yang terbaik ialah impian saya di sini”.

Bagi Felipe Anderson, impiannya ialah untuk mengikut jejak langkah legenda kelab itu iaitu Paolo Di Canio.

“Saya melihat beliau beberapa kali dan faham betapa pentingya beliau di sini. Saya mahu mengikut jejak langkahnya dan bermain sepertinya”, tekad pemain Brazil itu.

“Saya perlu menyesuaikan diri dengan permainan yang berintensiti tinggi di sini kerana di Itali, tempo permainan lebih perlahan dan kebanyakan pasukan lebih fokus pada taktik. Di sini jelas sekali ia berbeza”.

Kini, dengan Liga Perdana Inggeris sudah memasuki pusingan kedua, Felipe Anderson telah berjaya merekodkan 22 penampilan dan menjaringkan lapan gol. Kreativiti dan kepantasan beliau jelas ditagih oleh Pellegrini dalam usahanya membantu skuad London itu mendapatkan sesuatu musim ini.

Ayuh Felipe Anderson! Kejarlah cita-cita kamu itu!

 

Sumber: whufc.com, Skysports

Artikel oleh: Firdaus Zulkepli

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 215 times, 1 visits today)

Leave a Reply