Kegagalan Arsenal mendapatkan tiga mata dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (LPI) ke-22 menentang West Ham United, menceritakan serba sedikit masalah kelab London tersebut yang masih tiada jalan penyelesaiannya.

Manakala pengurus West Ham, Manuel Pellegrini sekali lagi berjaya mencongak taktikal untuk memperoleh kemenangan hebat ini.

Apakah perkara yang kita dapat pelajari dari perlawanan ini?

 

Kurang Kreativiti Corak Serangan Arsenal

Arsenal; West Ham United

 

Corak permainan Arsenal sebelum kemasukan Aaron Ramsey jelas menunjukkan kekurangan kreativiti serangan Arsenal.

Kepercayaan Unai Emery terhadap pergerakan serangan dari kawasan sendiri menerusi hantaran bola Granit Xhaka ke rakan di bahagian serangan tidak membuahkan hasil. Begitu juga pengharapannya terhadap gerakan dan kreativiti Alex Iwobi dari bahagian kiri, bergandingan dengan Sead Kolasinac.

Hanya satu peluang terbaik berjaya dicipta Arsenal pada separuh masa pertama, namun Kolasinac tidak melakukan rembatan tepat ke arah gol, sebaliknya melorongkan bola kepada Alexandre Lacazette, namun lorongan bola tersebut berjaya dipotong pemain West Ham.

Selepas kemasukan Ramsey dan Lucas Torreira, pergerakan serangan Arsenal mula menunjukkan peningkatan, dan cubaan demi cubaan terus dilakukan, namun Arsenal tetap gagal mendapatkan gol dalam perlawanan ini.

Pendirian Unai Emery tidak menggunakan Mesut Ozil atau Ramsey dalam kesebelasan utamanya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini menjadi tanda tanya penyokong the Gunners.

 

Masalah Granit Xhaka

Arsenal

 

Kelemahan Granit Xhaka yang tidak konsisten dan kurang fokus sekali lagi menyebabkan kerugian kepada pasukannya.

Tandukan lemahnya untuk mengeluarkan bola hantaran tinggi Felipe Anderson dari kawasan kotak penaltinya hanya sampai ke kaki Samir Nasri, yang kemudian memberikan bola kepada Declan Rice yang merembat cantik ke kiri atas gawang jagaan penjaga gol Arsenal, Bernd Leno.

Mungkin Pellegrini dapat melihat kekurangan Xhaka ini, dan mengarahkan pemainnya untuk terus mengasaknya supaya dia semakin letih dan kurang fokus.

Dan usaha pengurus dari Chile itu berhasil, apabila Xhaka membuat kesilapan yang menyumbang kepada gol tunggal perlawanan ini.

Fakta: Xhaka sudah lima kali melakukan kesilapan yang membolehkan pihak lawan menjaringkan gol dalam perlawanan liga, melebihi para pemain lain (selain penjaga gol) sejak permulaan musim lepas.

 

Pertahanan Arsenal Sangat Rapuh

West Ham United; Arsenal

 

Arsenal hanya mampu mencatat gawang bersih atau clean sheet sebanyak tiga kali sahaja dari 22 perlawanan liga setakat ini, dan Unai Emery masih belum menemui penyelesaian masalah ini.

Sokratis Papastathopoulos, Shkodran Mustafi, dan Laurent Koscielny merupakan pemain pertahanan tengah yang baik dari segi penyusunan barisan pertahanan, namun mereka kurang pantas untuk memintas bola hantaran pihak lawan dengan lebih awal.

Emery perlu segera mencari pemain pertahanan baru, seperti yang didesak oleh penyokong Arsenal, bagi mengatasi masalah ini.

Adakah dia perlu memanggil semula Calum Chambers dari Fulham? Atau menyegerakan kemasukan pertahanan muda Greece, Dinos Mavropanos ke skuad utama?

Masalah kerapuhan pertahanan ini bukan masalah yang dihadapi untuk musim ini sahaja, tetapi sejak dua, tiga musim yang lepas.

Kemerosotan Arsenal dari antara empat pasukan yang sentiasa berjaya memperoleh tempat ke Liga Juara-Juara Eropah, ke pasukan yang bergelut untuk beraksi dalam kejohanan kelab Eropah pada musim seterusnya, berpunca dari kerapuhan dan kurang fokus pemain di barisan pertahanan.

 

 

Harapan!!

Arsenal mempunyai skuad dan pilihan pemain yang sangat hebat untuk menewaskan pihak lawan yang lebih kerdil. Setiap posisi terisi dengan pemain berpengalaman, dari penjaga gol ke penyerang, namun gagal menterjemahkan kekuatan setiap pemain untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan seperti ini.

Sesuatu yang besar harus dilakukan Unai Emery dalam baki 16 perlawanan liga, bagi memperbaiki kedudukan pasukannya dalam liga. Objektif utama: tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan!

Dia harus bertindak! Arsenal harus bangkit! Come On You Gunners!

 

Artikel Oleh: Aizat Hanafi

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 967 times, 1 visits today)

Leave a Reply