Jendela perpindahan kali ini amat memeningkan Chelsea dan Newcastle United menjelang pertembungan di Stamford Bridge hujung minggu ini.

Kedua-dua bekas pengendali pasukan Napoli, Maurizio Sarri dan Rafael Benitez, bakal bertemu dalam persaingan liga yang bakal berlangsung pada lewat malam Sabtu (waktu Malaysia).

Namun begitu, berita-berita ‘panas’ lebih tertumpu pada aktiviti perpindahan pemain berbanding persiapan pasukan menjelang perlawanan kali ini.

Cerita ‘panas’ untuk kem ‘The Blues’ lebih tertumpu kepada jentera serangan pasukan. Menurut laporan, pengurus pasukan Maurizio Sarri seakan-akan tidak berpuas hati dengan prestasi penyerang pasukannya ketika ini, Alvaro Morata, menyebabkan pasukan tersebut melakukan bidaan terhadap beberapa pemain di posisi itu bagi menggantikan Morata.

 

Chelsea

Prestasi Morata yang merosot merungsingkan peminat Chelsea

Antara pemain yang dibida termasuklah penyerang sensasi Bournemouth, Callum Wilson, serta bekas anak didik Sarri ketika mengendalikan Napoli, Gonzalo Higuain.

Tambah menarik, Chelsea juga bakal menerima kembali penyerang antarabangsa Belgium, Michy Batshuayi, setelah Valencia mengesahkan bahawa mereka tidak lagi memerlukan khidmatnya di kelab itu.

Selain itu, masa depan pemain tengah, Cesc Fabregas masih belum dapt dipastikan.

Bekas pemain Arsenal itu telah bersetuju untuk menyertai pasukan kendalian bekas rakan sepasukannya, Thierry Henry iaitu AS Monaco.

 

Chelsea

Namun begitu, Chelsea telah memanggil semula Fabregas untuk kembali ke London, di mana pasukan itu terpaksa mencari pengganti beliau sebelum melepaskan beliau pergi.

Ditanya mengenai keadaan Cesc Fabregas ketika sidang media pra-perlawanan, Sarri menjelaskan: “Saya fikir dia harus pergi. Ketika ini, dengan keadaan mental dia sekarang, saya rasa dia tidak mampu bermain. Saya memerlukan pengganti, tetapi saya tidak mahu pemain seperti Cesc tidak gembira berada di sini.”

Persiapan pasukan ‘The Blues’ ini juga agak terganggu susulan kekalahan mereka dalam aksi perlawanan pertama peringkat separuh akhir dalam saingan Piala EFL pada Rabu, 1-0 kepada Tottenham Hotspur.

Walau bagaimanapun, terdapat berita baik juga untuk pasukan apabila hanya Ruben Loftus-Cheek tidak dapat beraksi untuk perlawanan ini akibat kecederaan belakang.

Berkenaan perlawanan ini, Sarri menjelaskan: “Perlawanan ini saya jangkakan agak sukar. Mereka agak bagus di tempat lawan. Saya amat berharap kami mampu menjaringkan gol dalam 30 minit pertama perlawanan. Namun, sekiranya kami gagal melakukannya, kami harus bersabar. Kami bermain agak baik ketika menyerang, tetapi kami harus perbaiki apabila berada di dalam kotak penalti,dan juga bijak menggunakan ruang.”

Berita-berita ‘panas’ juga tidak kurang hebatnya untuk kem pasukan Newcastle United.

Antara laporan besar di sana adalah perkembangan urusan pembelian kelab yang digerakkan oleh bekas ketua pegawai eksekutif Chelsea, Peter Kenyon.

Laporan menyatakan Kenyon masih mencari pelabur-pelabur yang berpotensi bagi mencukupkan dana untuk membeli kelab tersebut dari pemilik kontroversi, Mike Ashley.

Selain itu, Newcastle United turut dikaitkan dengan beberapa pemain bagi membantu pasukan itu membaiki kedudukan mereka dalam saingan liga.

Antara pemain yang dikaitkan ketika ini adalah pemain muda Turki, Abdulkadir Omur, yang juga turut dikenali sebagai ‘Messi Turki’. Penyerang Bermuda berusia 19 tahun itu turut dikatkan dengan Liverpool dan Manchester City.

 

Pemain remaja Turki, Omur menjadi buruan kelab LPI, termasuklah Newcastle United

Walau bagaimanapun, dengan nilai pemain tersebut mencecah sehingga £27 juta, agak mustahil untuk melihat pemain tersebut hadir ke St. James Park, memandangkan Mike Ashley masih belum mahu untuk berbelanja besar ketika urusan penjualan kelab masih belum dimuktamadkan.

Newcastle juga turut dilanda masalah kepadatan jadual pada bulan ini, apabila terpaksa menambah satu lagi perlawanan iaitu perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA. Pada perlawanan yang berlangsung di St. James Park pada hujung minggu lalu, ‘The Magpies’ hanya mampu seri 1-1 ketika menentang kelab yang berada dalam Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers.

Mereka terpaksa menghadapi perlawanan ini tanpa kelibat Ki Sung-yueng dan Yoshinori Muto, yang mewakili negara masing-masing beraksi dalam kejohanan Piala Asia.

 

Newcastle United

Rafael Benitez pasti merasai pemergian penyerangnya, Yoshinori Muto ke kejohanan Piala Asia 2019.

Selain itu, Jonjo Shelvey dan Paul Dummett juga dilaporkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan masing-masing, yang memaksa mereka bertemu pakar di Sepanyol pada minggu ini bagi menilai tahap kecederaan mereka.

Kegusaran kedua kelab ini untuk mendapatkan rekrut baru untuk skuad masing-masing dalam jendela perpindahan pemain Januari yang sukar dan singkat ini diharapkan tidak mengganggu persiapan perlawanan untuk nenyajikan perlawanan bolasepak yang rancak kepada peminat, dengan objektif mendapatkan tiga mata penting untuk kelangsungan cabaran baki liga musim ini.

Adakah Chelsea masih perlu mengharapkan Eden Hazard sebagai punca gol mereka? Atau Giroud dan Morata akhirnya bangkit dari lena yang panjang untuk menggegar gawang Newcastle?

 

Artikel oleh : MFH

Ikuti kami juga di :

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 163 times, 1 visits today)

Leave a Reply