Penutup aksi Liga Perdana Inggeris (LPI) untuk minggu 22 bakal menemukan juara liga musim lalu, Manchester City yang akan melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers di Etihad Stadium, dan pastinya City mahu meneruskan rekod hebat mereka sejak awal tahun 2019 disitu.

Biarpun melalui minggu yang agak sibuk dengan jadual perlawanan yang padat, namun Manchester City sudah tentu tidak terlalu “penat” dengan lawan yang mereka hadapi.

Dimulakan dengan kemenangan keatas pendahulu liga, Liverpool dan sekaligus berjaya melebur rekod tanpa kalah Liverpool sebanyak 21 perlawanan sejak awal musim liga.

Dan selepas itu barulah “percutian” mereka bermula dengan aksi Piala FA dengan mudah meratah Rotterham United dengan keputusan 7-0, dan kemudian, membelasah Burton Albion dengan sembilan jaringan tanpa balas di peringkat separuh akhir Piala EFL.

Manchester City

Manchester City rakus menewaskan Burton Albion pada awal pagi Khamis lepas

Walaubagaimanapun, skuad kendalian Pep Guardiola ini harus lebih berwaspada dengan ancaman dari Wolverhampton yang terkenal dengan reputasinya sebagai “Robin Hood” dalam liga, dimana seringkali berjaya mencuri mata ketika menentang kelab besar di dalam liga, dan City juga sendiri berpengalaman dalam situasi ini selepas diikat Wolves, dalam aksi liga pusingan yang pertama.

Kembalinya Sergio Aguero dan Kevin de Bruyne di bahagian serangan dijangka akan terus memberi impak positif bersama gandingan dua pemain lipas kudung di bahagian sayap mereka iaitu Leroy Sane dan Raheem Sterling.

Di kem Wolverhampton pula, Nuno Espirito sedang menyediakan skuad terbaiknya untuk berhadapan sekali lagi dengan Manchester City musim ini.

Seperti City, Wolves juga berjaya menewaskan Liverpool dengan mencatat keputusan 2-1 di Molineux Stadium dan sekaligus menyingkirkan Liverpool dari merebut kejuaraan Piala FA.

Reputasi Wolves selaku pemberi kecewa kepada kelab besar pada musim ini, mahu diteruskan mereka dan dijangka akan berhempas pulas untuk mencuri mata ketika beraksi di Etihad Stadium.

Tonggak utama Wolves seperti Raul Jimenez, Matt Doherty dan Joao Moutinho pastinya diharap akan menjadi nadi kepada pasukan Wolves untuk menyerap tekanan ketika beraksi menentang Manchester City.

Wolverhampton Wanderers

Dua pasukan ini telah bertemu sebanyak sembilan kali dalam PL, dimana City telah memenangi sebanyak lima kali, dua keputusan seri dicatat dan baki dua perlawanan lagi telah dimenangi oleh Wolves.

Kali terakhir pertembungan antara mereka ialah pada Ogos tahun lalu, dengan Wolves berjaya mengikat Manchester City dengan keputusan 1-1 di Molineux Stadium.

Berita dari kem Manchester City, Benjamin Mendy (lutut) dan Vincent Kompany (otot) akan terus disisihkan akibat dari kecederaan yang dialami.

Sergio Aguero pula dijangka akan bermula dalam kesebelasan utama selepas pulih dari kecederaan walaupun Gabriel Jesus beraksi cemerlang dengan berjaya meledak empat gol ketika menentang Burton Albion, Khamis lalu.

Tiada berita kecederaan terbaru dilaporkan dari kem Wolves dan ini bermakna skuad kendalian Nuno Espirito ini akan turun dengan skuad terbaik untuk menentang Manchester City.

Adakah Manchester City akan terperangkap dalam gelap malam dan terus diratah oleh serigala buas di Etihad Stadium nanti ?

Sama-sama kita nantikan.

Artikel Oleh: Hadi

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 119 times, 1 visits today)

Leave a Reply