Roberto Firmino, atau nama sebenarnya Roberto Firmino Barbosa de Oliveira, lahir pada 2 oktober 1991, di Maceio, Brazil.

Ianya sebuah bandar yang indah di negeri Alagoas, Brazil.

Beliau dilahirkan oleh pasangan Jose Roberto Cordeiro(bapa) bersama dengan Mariana Cicera Barbosa de Oliveira (ibu).

Dilahirkan dari keluarga yang susah. Persekitaran tempat tinggal mereka juga tidaklah begitu baik, sehinggakan ibu Firmino melarang beliau bermain diluar kawasan rumah, kerana risaukan anaknya akan terjebak dan terjerumus dengan geng kongsi gelap dan dadah.

 

Foto: Liverpool Echo

 

“Kawasan rumah kami terlalu bahaya untuk budak kecil. Tidak sesuai untuk kanak-kanak bermain diluar. Di kejiranan kami sangat merbahaya. Saya hanya benarkan beliau keluar jika ditemani bapanya sahaja” ujar ibu Firmino.

Firmino yang mempunyai bakat dan fizikal yang luar biasa bagi kanak-kanak sebayanya. Dia tidak mahu duduk diam dan terperap didalam rumah sahaja.

“Aku lelaki. Dah macam anak dara pulak duk mereput kat rumah ni” (mungkin inilah ayat yang bermain dalam kepala beliau ketika itu).

Beliau akan cuba menyelinap keluar ketika ibunya sedang tidur pada awal pagi (kalau waktu malaysia. Kira waktu lepas subuhlah).

Beliau akan menyelinap secara perlahan melalui pintu dapur, dan akan cuba berlatih di kawasan lapang kejiranan mereka.

Namun atas dasar sayangkan anak, dan ingin melihat anak berjaya dan membawa keluarga mereka keluar dari kemiskinan, akhirnya ibu Firmino mengalah.

Ibunya membenarkan beliau berlatih dan bermain bola di kejiranan mereka. Pujian dan terima kasih juga harus diberikan kepada jiran mereka yang memberikan jaminan bahawa mereka akan sama-sama menjaga keselamatan Firmino.

“Berilah Firmino kebebasan untuk bermain bola. Dia mempunyai bakat luar biasa. Jangan sia-siakanya. Kami akan sama-sama memerhatikannya” ujar salah seorang daripada jiran Firmino.

Akhirnya, pada umur 14 tahun Firmino diterima masuk ke dalam pasukan ‘Maceio’s Club De Regatas Brasil’ atau dikenali sebagai CRB. CRB merupakan kelab tempatan yang di terajui oleh Luiz.

Menurut Luiz :

“Keluarga Firmino sangat miskin. Pertama kali dia menjejakkan kami ke kem latihan, tanpa kasut, berkaki ayam sahaja. Dan berhutang dengan jirannya untuk datang berlatih”.

Bapanya hanya seorang peniaga air. Dan hanya menjual air ketika terdapat festival atau keramaian di pantai. (Terdapat banyak pantai yang menarik di Maceio).

Luiz la yang membayar segala keperluan Firmino ketika itu, kerana dia melihat bakat yang ada pada Firmino.

“Beliau tinggi dan mempunyai kaki yang pantas, namun dia kelihatan seperti anak jalanan. Tetapi saya rasa, dia tak terlibat dengan salah guna dadah atau kongsi gelap. Saya sangat meyakini perkara itu.” Tambah Luiz lagi.

“Dan sekali beliau melangkah di atas padang, dan terus pada masa itu, saya tahu bahawa dia bakal menjadi pemain yang bertaraf dunia.

“Dia juga pernah berkata kepada saya, suatu hari nanti dia ingin menjadi pemain skuad antarabangsa Brazil. Dan akhirnya impiannya tercapai” tambah Luiz lagi.

Selepas itu, Firmino mendapat peluang. Beliau telah diberikan ‘trial’ ke pasukan elit Sao Paolo.

Keluarganya sangat gembira akan berita tersebut. Dan Firmino berjanji akan mengubah nasib keluarga mereka.

Keadaan semasanya ketika itu amatlah sukar bagi Firmino yang baru berusia 15 tahun ketika itu. Sudahlah terpaksa berjauhan dengan keluarga, tanpa wang yang secukupnya pula.

Tetapi tidak mengapa, dan Firmino sudah bertekad.

Firmino berkelana kira-kira 1000 batu jauh daripada rumahnya.

Percubaanya di Sao Paolo tidak berlangsung dengan baik. Dia menangis dan  terus menghubungi ibunya. Dia menyuruh ibunya membawanya pulang. Ibunya yang juga bersedih ketika itu, tidak dapat membawa Firmino pulang kerana mereka tidak mempunyai wang.

Namun, bak kata pepatah: “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia? Siapa yang tahu”

Firmino berjumpa dengan seorang Doktor gigi bernama Dr Marcellus Portella. Doktor tersebut yang terpikat dengan permainan Firmino lalu membawanya untuk mendapatkan satu lagi percubaan. Kali ini bersama pasukan Figurense.

Hari pertama bersama pasukan tersebut. Firmino berjaya menjaringkan 2 gol. Bukan 2 gol biasa. Lipat! Tahu? “Bicycle kick”!

Dan dia tahu yang dia akan bermain di sana apabila sekali lagi dipanggil untuk bermain pada hari kedua. Pada ketika itu dia bermain sebagai Defensive Midfielder sahaja. Kerana lambakan bakat pemain serangan yang Brazil miliki.

Selepas itu, dia bermain dengan sepenuh hati. Apabila dipanggil untuk bermain, anak muda sentiasa mengharapkan keajaiban betul tak? Itulah yang Firmino dapat. Keajaiban!

Setelah 1 tahun bermain bersama Figueirense 2009-2010 dan membuat 38 penampilan dan menyumbangkan 8 gol. Dia akhir berjaya! Terpilih!

Pencari bakat dari Jerman datang merisik. Dengan angkuhnya anak muda berusia 16 tahun tersebut membuat kenyataan.

“Keluarga ku tak perlu bekerja lagi!”.

Atas faktor sayang dan ikatan kekeluargaan yang kuat. Dan juga homesick yang kuat dalam dirinya, maka Firmino membawa kesemua ahli keluarganya berhijrah ke Jerman.

Hoffenheim! Ya kelab yang menaikkan lagi pasaran dirinya. Dari negera panas dan mempunyai pantai yang indah, dia berhijrah ke negara yang agak bersalji.

Namun beliau mengambil masa sehingga tiga musim untuk betul-betul menguasai Bundesliga. Musim ketiga yang begitu cemerlang, dan mula menggoda kelab-kelab Eropah yang lain untuk mendapatkan khidmat beliau.

Dia mengikat kontrak bersama Hoffenheim mulai Disember 2010 sehingga Jun 2015. Hanya selepas tiga bulan dia dihadiahkan ‘debut’ oleh pengurus ketika itu, Ernst Tanner,  dan mendapatkan gol pertamanya pada bulan April 2011.

Roberto Firmino membuat 140 penampilan bersama Hoffenheim dan menjaringkan 38 gol. Menakjubkan.

 

Roberto Firmino ketika menyarung jersi kelab Jerman, Hoffenheim.

 

Kemudian dia mendapat panggilan kebangsaan untuk skuad Brazil yang dikendalikan oleh Dunga ketika itu, untuk bersaing dalam kejohanan Copa America di Chile.

Skuad Brazil yang dimalukan pada edisi Piala Dunia 2014 di laman sendiri, ingin membuat rombakan dalam skuad mereka. Dan Firmino antara individu yang dipilih. Bermain sebagai “false 9” untuk pasukan Brazil.

Aksinya bersama skuad Brazil menyebabkana Ian Ayre,  Pengurus Pembelian Liverpool terbang terus ke Santiago, Chile untuk mematerai perjanjian dengan beliau untuk menyertai Liverpool.

23 Jun merupakan tarikh terpenting dalam karier bolasepak Roberto Firmino. Dia menyertai ke Liverpool dengan nilai mencecah sehingga £29 juta. Dan Liverpool melengkapkan perjanjian tersebut sepenuhnya pada 4 Julai.

Pada mulanya, dia diberikan nombor jersi 11, sebelum menukar nombor jersinya kepada No. 9, mengalah kepada rakan pasukannya iaitu Mohamed Salah. Betapa baiknya Firmino, yang juga dikenali dengan nama timangan Bobby ini.

Roberto Firmino melakukan debut pertamanya untuk Liverpool pada perlawanan pra musim menentang Swindon Town pada 2 ogos 2015.

Kemudian dia membuat penampilan pertama Liga Perdana Inggeris (LPI) ketika menentang Stoke City menggantikan Jordan Ibe pada minit ke-78. Ketika itu Liverpool berada di bawah kendalian Brendan Rodgers.

Tapi penampilan sebenar beliau ialah di bawah kendalian Jurgen Klopp, dan dia menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool ketika menang 4-1 ke atas Manchester City.

 

Roberto Firmino; Liverpool

Gaya Roberto Firmino menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool

 

Selepas itu, Klopp terus menjadikan dia sebagai salah seorang penyerang pasukannya. Atau lebih tepat berperanan sebagai “false 9”.

Sehingga kini Firmino telah membuat penampilan sebanyak 124 kali dan menjaringkan 44 gol keseluruhannya untuk Liverpool.

Tiga golnya ketika membelasah Arsenal 5-1 di Anfield pada bulan lepas telah meletakkan namanya sebagai pemain Brazil menjaringkan gol terbanyak dalam LPI ketika ini.

Antara pemain kesayangan peminat Liverpool untuk musim ini, semoga Firmino terus menambah jumlah golnya buat Liverpool selepas ini!

Ini adalah cerita ringkas tentang our No.9 atau our False 9! Roberto Firmino!

Artikel Oleh : A. Mashud

Ikuti kami juga di:

Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 3,930 times, 1 visits today)

Leave a Reply