Credit : Foto: Daily Express

Jam 5.19 petang waktu Malaysia secara rasminya Manchester United mengumumkan bekas pemain, Ole Gunnar Solskjaer telah dilantik sebagai pengurus sementara pasukan tersebut hingga hujung musim ini.

Selepas pelantikan ini, apakah yang boleh diharapkan oleh para penyokong Red Devils kepada Solskjaer?

1. Kembalikan moral pemain

Kita semua maklum bahawa pemain seperti Paul Pogba dan Alexis Sanchez tidak lagi ‘sebulu’ dengan pengurus pasukan sebelum ini, malah ia antara penyebab mengapa kedua-dua pemain tersebut tidak lagi beraksi dengan baik seperti dahulu. Dengan pelantikan pengurus baharu, para pemain United akan dibekalkan dengan idea baharu dan dapat bersatu semula untuk mencapai sasaran sebenar United.

2. Permainan menarik

Ramai peminat United mengadu bahawa cara permainan United musim ini membosankan, malah tidak memberikan kemenangan. United tidak lagi menjaringkan gol seperti dahulu bahkan bolos dengan jaringan yang tidak sepatutnya.

Begitupun hal ini mungkin agak sukar untuk dilakukan Solskjaer. Harapnya beliau belajar dari kesilapan beliau ketika di Cardiff empat tahun lalu, dan boleh bertanyakan beberapa ilmu dari Mike Phelan, bekas pembantu Sir Alex Ferguson suatu ketika dahulu yang akan menjadi pembantu beliau pula kali ini.

3. Satukan semula bilik persalinan

Beberapa pemain Manchester United sebelum ini mengaku mereka mempunyai masalah bekerja dengan Jose Mourinho – antaranya ialah tidak menyukai cara Mourinho bekerja dan taktikal permainan beliau tidak kena dengan cara pemain bermain.

Solskjaer perlu mendapatkan semua pemain dan memberitahu dengan jelas apakah sasaran baki musim ini dan juga agar pemain dapat bermain dengan penuh keseronokan ketika menyarung jersi merah pasukan ini.

4. Kembalikan imej United…okey mungkin yang ini sangat sukar untuk Solskjaer, tapi beliau boleh cuba.

Tidak dinafikan lima tahun selepas Sir Alex Ferguson meletakkan jawatan beliau sebagai pengurus United, ketiga-tiga pengurus selepas beliau sering dihantui dengan kejayaan Ferguson sebelum itu, yang juga menjadi penyebab kepada kegagalan pengurus-pengurus tersebut kerana aras yang diletakkan terlalu tinggi.

Solskjaer hanyalah pengurus untuk musim ini, tetapi beliau harus menunjukkan bahawa United masih mempunyai identiti dengan menggunakan perlawanan-perlawanan pada bulan Disember ini sebagai contoh terbaik.

Misalnya, kita semua tahu United memerlukan beberapa pemain baharu untuk ditandatangani pada bulan Januari nanti. Andai beliau dilihat gagal dalam beberapa perlawanan awal ini, ia menunjukkan imej kurang baik kepada pemain-pemain yang diinginkan United nanti.

Apakah harapan anda kepada Solskjaer wahai penyokong Red Devils?

Artikel oleh: Afiq Shari

Baca juga: [EKSKLUSIF] Saya Membuat Keputusan Betul Menyertai Chelsea – Florent Malouda

Ikuti kami juga di
Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Twitter: @LPI_MY
Instagram: @lpi_my

#LPIMY

(Visited 3,722 times, 1 visits today)

Leave a Reply