Kecederaan kini sudah mulai menghantui pasukan Liverpool, manakala Slanisa Jokanovic mungkin dibuang dari kerusi yang semakin pans di Craven Cottage.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mungkin membuat beberapa pertukaran pemain menjelang pertemuan menentang kelab terbawah liga, Fulham, pada hujung minggu ini.

Liverpool, yang telah tewas mengejut kepada Red Star Belgrade 2-0 dalam aksi Liga Juara-juara Eropah pada pertengahan minggu, terpaksa bergelut dengan kecederaan beberapa pemain utama, di mana Joe Gomez dan Trent Alexander-Arnold berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan untuk perlawanan hujung minggu ini.

Alexander-Arnold hanya dapat beraksi selama 45 minit pada perlawanan menentang Red Star Belgrade. Lebih malang, pemain yang menggantikannya, Joe Gomez, turut mengalami kecederaan dalam perlawanan yang sama.

Hal ini mungkin memberi ruang kepada Nathaniel Clyne untuk kembali ke dalam kesebelasan utama Liverpool. Selain itu, barisan pertahanan Liverpool juga ‘tempang’ tanpa kehadiran Dejan Lovren, yang turut terlepas untuk beraksi menentang Red Star Belgrade.

Walau bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku bagi bahagian tengah pasukan Liverpool, di mana Jordan Henderson dan Naby Keita berkemungkinan dapat diturunkan pada hujung minggu ini. Selain itu, Fabinho, James Milner, dan Georginio Wijnaldum turut dijadikan pilihan bagi Klopp untuk beraksi di bahagian tengah.

Dengan prestasi pasukan Fulham yang sentiasa melepaskan gol pada saingan liga pada musim ini, berkemungkinan Klopp akan mengekalkan taktik 4-3-3 kegemaran beliau, atau mungkin beliau akan bertindak lebih agresif dengan menggunakan taktik 4-2-3-1.

Sementara itu, lain pula beritanya bagi kem Fulham. Hanya mengumpul 5 mata daripada 11 perlawanan, nasib pengurus pasukan, Slavisa Jovakovic berkemungkinan akan ditentukan selepas perlawanan menentang Liverpool hujung minggu ini.

Khabar angin mula bertiup kencang, apabila laporan media-media di UK mula mengaitkan bekas pemain Fulham, Scott Parker untuk menggantikan Jokanovic. Parker merupakan jurulatih pasukan bawah 18 tahun Tottenham Hotspur pada musim lalu, sebelum berpindah ke Fulham pada bulan Julai yang lepas untuk menyertai barisan kejurulatihan pasukan tersebut. Diberitakan beliau menjadi pilihan utama untuk menggantikan Jokanovic kerana beliau merupakan pilihan yang termurah dari sudut gaji, berbanding calon-calon yang lain seperti David Moyes, Sam Allardyce, atau Steve Bruce.

Walaupun telah berbelanja besar pada musim panas yang lalu, prestasi pasukan Fulham yang dibawa Jokanovic berada pada tahap yang membimbangkan. Tewas lima kali berturut-turut dalam saingan liga sebelum perlawanan hujung minggu ini, Fulham perlu mengharapkan keajaiban untuk mereka mengutip sekurang-kurangnya satu mata di Anfield.

Artikel oleh: MFH

Ikuti kami juga di:
Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram: @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 41 times, 1 visits today)

Leave a Reply