Leicester City sudah mengumumkan tidak akan memainkan lagu sensasi kumpulan Kasabian bertajuk “Fire” andai mereka menjaringkan gol di Stadium King Power hujung minggu ini.

Leicester City menanti kunjungan Burnley untuk perlawanan ke-12 Liga Perdana Inggeris (LPI) pada hari Sabtu ini. Ia merupakan perlawanan tempat sendiri yang pertama selepas tragedy maut yang menimpa pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha.

Jutawan Thailand, Vichai disahkan antara lima orang yang terkorban dalam nahas helikopter peribadi yang menghempas jatuh dan terbakar di kawasan letak kenderaan tidak jauh dari stadium tersebut. Kejadian berlaku selepas perlawanan liga menentang West Ham United dua minggu lepas.

The Foxes selalu memainkan lirik ‘I’m on fire’ dari lagu Fire nyanyian kumpulan Kasabian selepas mereka menjaringkan gol di stadium mereka, tetapi mereka tidak akan melakukannya minggu ini dan mencari irama yang sesuai untuk peristiwa sedih dan pilu yang menimpa ke atas mereka.

Kelab itu juga sedang menyediakan beberapa lagi upacara penghormatan kepada Vichai dan mangsa korban yang lain dalam kejadian tersebut.

Dua orang ahli kumpulan Kasabian, Tom Meighan (vokalis dan pemain gitar) dan Sergio Pizzorno (pemain gitar) merupakan peminat setia kelab tersebut.

Lagu mereka menjadi salah satu pemberi semangat semasa kempen gemilang Leicester City menjulang kejuaraan LPI pada tahun 2016, dan mereka juga mengadakan konsert di stadium tersebut selepas kemenangan liga kelab kesayangan mereka.

Kata-kata Ranieri yang dipetik pada tahun 2015 selepas kemenangan ke atas Sunderland, ‘Saya rasa saya sangat mengenali peminat Leicester. Mereka penyokong yang sangat sayangkan kelab dan saya memberitahu kepada pemain saya, “Apabila anda melangkah masuk ke padang dan mendengar lagu Kasabian, itu bermakna mereka mahukan pahlawan.” Saya mahu mereka melihat diri mereka sebagai pahlawan di mata peminat.

‘Kasabian ialah satu kumpulan Rock dari Leicester, dan pemain gitar mereka iaitu Sergio merupakan orang Itali. Ia bagus dan saya rasa mereka sukakan pahlawan. Kami ialah pahlawan.’

STEVE HODGKIN / Credit – CHADWICKS

Sementara itu, pemain penyerang Leicester City dan England, Jamie Vardy melelong penggunaan kotak ruangan eksekutifnya untuk menambah wang untuk dana bekas pemilik kelab tersebut.

Vardy dan isterinya, Rebekah menawarkan kepada orang awam untuk membida pakej hospitaliti di kotak mereka pada hari Sabtu ini.

Artikel oleh: Aizat Hanafi

Ikuti kami juga di:

Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram: @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 78 times, 1 visits today)

Leave a Reply