Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic mendedahkan para pemain skuad utama kelab akan ‘menyorokkan diri’ dari Jose Mourinho apabila mereka kalah.

Dia memberitahu media bahawa setiap pemain akan mengelak dari bertembung dengan pengurus kelab tersebut di padang latihan selepas tewas dalam satu perlawanan, dan akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk mengubah prestasi buruk United di awal musim Liga Perdana Inggeris (LPI) 2018/2019.

The Red Devils kini menduduki tangga ketujuh liga selepas 11 perlawanan, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Pengurus Portugal itu berada dalam pemerhatian yang ketat selepas permulaan awal musim yang buruk, walaupun berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut menewaskan Everton dan Bournemouth minggu lepas.

Kelab Manchester itu hanya tidak bolos dalam satu perlawanan liga sahaja, dan sudah melepaskan 18 gol setakat ini. Musim lepas, United tidak bolos dalam lapan perlawanan dan hanya bolos lima gol selepas 11 perlawanan liga.

Tiada pasukan lain yang mengatasi United dari segi memenangi lebih banyak mata (7 mata) bangkit dari posisi kekalahan musim ini.

Mereka akan menghadapi perlawanan yang getir malam esok menentang Juventus di Turin, Itali dan Matic mengetahui keazaman dan kedegilan Mourinho untuk memenangi perlawanan ini.

“Dia menghadapi banyak tekanan kerana ramai yang mengharapkan dia untuk menang. Kami hanya tunggu dan lihat akan reaksinya apabila tidak menang. Dia suka akan kemenangan, dan akan menyorokkan diri daripadanya apabila tewas,” kata pemain 30 tahun itu kepada Sky Sports.

“Dia sangat gembira apabila kami memenangi sesuatu perlawanan, dan mahu kami lakukan yang lebih baik apabila kalah, sama seperti pengurus-pengurus yang lain. Dia akan cuba mencari cara untuk menang secepat mungkin.”

 

Matic tetap memuji Mourinho walaupun dia dikenali dengan watak yang garang.

“Dia seorang yang hebat. Dia manusia yang berlainan diluar waktu kerja dan diluar padang,” tambah Matic.

‘Satu perkara yang pasti adalah banyak perubahan dalam LPI sejak dia tiba. LPI menjadi lebih menarik dengannya.”

Matic juga menafikan dakwaan media bahawa ada pertelingkahan dan hubungan negatif beberapa pemain dengan Mourinho dalam bilik persalinan.

“Kami ialah United. Kami menang bersama-sama, dan tewas juga bersama-sama.

“Media menulis perkara yang tidak benar. Kami sangat bekerja keras dan akan terus melakukannya.

“Nama Manchester United mewajibkan kami menjadi profesional dan cuba untuk mengubah situasi secepat mungkin, dan inilah yang kami sedang lakukan.”

Manchester United menghadapi dua perlawanan sukar minggu ini. Mereka perlu menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah peringkat kumpulan menentang Juventus pada petang rabu (awal pagi Khamis waktu Malaysia) sebelum beraksi dalam perlawanan setempat Manchester menentang Manchester City pada hari ahad nanti.

Artikel oleh: Aizat Hanafi

Ikuti kami juga di:

Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram: @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 46 times, 1 visits today)

Leave a Reply