Kembalinya kita dalam slot kedua temubual kami bersama bekas penyerang Liverpool, Stan Collymore dengan kerjasama oleh Stadium Astro.

LPIMY: Awal musim ini, Liverpool telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan. Adakah anda yakin bahawa akhirnya, musim ini Liverpool akan memenangi mungkin satu trofi selepas beberapa musim tidak memenangi sebarang trofi?
SC: Saya merasakan bahawa Liverpool bakal memenangi sesuatu musim ini cuma mungkin agak terlalu awal untuk menekanya. Ianya kelihatan sukar walaupun dengan permulaan baik Liverpool pada musim ini. Untuk menjuarai liga, Manchester City mempunyai “squad depth” untuk mengekalkan kejuaraan. Mengambil kira perlawanan yang dimenangi, sama ada Liverpool atau Manchester City, adalah terlalu awal kerana masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi. Manchester City adalah pasukan yang harus ditewaskan. Melihat dari perspektif Liverpool, mereka haruslah mengekalkan konsistensi dan momentum di awal musim ini untuk menyaingi Manchester City. Jika diimbas pada musim lepas, jarak mata di antara kedua-dua pasukan agak besar dan saya rasa untuk mereka mencabar kejuaraan LPI pada musim ini, momentum itu haruslah konsisten. Pada saya, Manchester City berada di kedudukan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan. Liverpool juga mampu bersaing dengan menandatangani beberapa pemain baru seperti Allison, Fabinho, Naby Keita dan kembalinya Daniel Sturridge ke Liverpool selepas dipinjam ke West Brom pada musim lepas.

LPIMY: Umum mengetahui bahawa gandingan anda bersama Robbie Fowler adalah antara duo penyerang yang amat digeruni pada waktu itu. Tetapi, selepas perselisihan faham anda dengan pengurus Liverpool, Roy Evans. Anda telah membuat keputusan untuk meninggalkan Liverpool di kala “chemistry” anda dengan Fowler di ketika itu pada tahap kemuncak. Apakah perasaan anda sewaktu membuat keputusan itu?

SC: Saya mengambil keputusan meninggalkan Liverpool kerana pada waktu itu, Aston Villa cuba untuk menandatangani saya. Masakan saya ingin lepaskan peluang bermain untuk kelab kegemaran saya. Sepanjang 2 tahun bergandingan dengan Robbie, kami berjaya juga layak ke perlawanan akhir Piala FA tetapi tewas 1-0 kepada Manchester United. Kami juga telah layak pusingan separuh akhir “Cup Winners’ Cup” tetapi kalah kepada PSG. Gandingan kami berjaya menjaringkan 102 gol sepanjang 2 tahun bermain bersama. Pada masa itu, Liverpool adalah satu pasukan yang berbakat tetapi kurang bernasib baik kerana Manchester United ada pemain seperti Ryan Giggs, David Beckham, Gary & Paul Neville. Ia adalah satu perlawanan yang seimbang cuma dimenangi oleh United yang mempunyai lebih “squad depth” yang lebih baik. Saya melihat kembali selepas mengambil keputusan meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab yang saya sokong sejak dari kecil iaitu Aston Villa, di waktu Micheal Owen mula menunjuk potensi beliau selaku penggempur baru Liverpool. Robbie Fowler sendiri telah bergandingan bersama Owen, Ian Rush, Emile Heskey dan beberapa pemain ternama Liverpool dan beliau telah menyatakan bahawa saya adalah penyerang yang beliau selesa bergandingan. Ia adalah satu pengesahan bahawa gandingan kami adalah yang terbaik.

Gandingan Fowler-Collymore disifatkan sebagai antara gandingan terbaik pernah disaksikan oleh peminat Premier League pada era 90-an (Foto: Ghanasoccernet)

LPIMY: Kita melihat prestasi semasa Mo Salah di ketika ini tidak seperti musim lepas. Beliau kelihatan bergelut untuk menyamai prestasi sewaktu musim pertama bersama Liverpool. Apa pendapat anda tentang keadaan Mo Salah sekarang?

SC: Mo Salah telah menjaringkan 3 gol dalam perlawanan liga musim ini. Luka Modric telah bercakap tentang “World Cup Hangover”. Setiap pemain mempunyai cara yang berlainan untuk melawan sindrom ini. Harry Maguire dan Kyle Walker cuba untuk bangkit kembali selepas kempen Piala Dunia yang agak memberansangkan. Akan sampai satu masa, pemain-pemain akan mencapai tahap terendah dalam prestasi mereka. Mungkin beberapa perlawanan sebelum liga tamat atau seawal sebelum Krismas. Pada pandangan saya, jika pengurus mampu mengesan sindrom ini terlebih awal dan menyediakan sesi latihan yang betul, Mo Salah akan kembali ke prestasi terbaik beliau. JIka Mo Salah menjaringkan 14 gol dan Liverpool memenangi liga atau menjaringkan 40 gol dan tidak memenangi liga, Mo Salah masih mampu untuk menjaringkan gol kemenangan dan meningkatkan intensiti beliau. Rasanya, adalah agak awal untuk membandingkan Mo Salah dengan Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo kerana kedua-dua pemain ini telah bersaing selama hampir sedekad dan Mo Salah baru mencapai puncak prestasi beliau pada musim lepas. Apa sahaja berlaku, Mo Salah tetap seorang pemain kelas dunia bagi Liverpool dan beliau akan terus menyumbang kepada kelab. Ini semuanya, bergantung kepada cara kelab itu menguruskan pemain berkaliber seperti Mo Salah.

LPIMY: Jaringan penyamaan lewat permainan oleh Daniel Sturridge sewaktu menentang Chelsea tempoh hari begitu memukau. Adakah anda merasakan bahawa beliau sudah menghampiri prestasi terbaik sewaktu gandingan SAS dibentuk bersama Luis Suarez beberapa musim yang lalu, mengambil kira musim buruk yang dilalui sewaktu dipinjamkan ke West Bromwich Albion musim lepas?

SC: Ya, saya merasakan bahawa Daniel semakin menghampiri prestasi terbaik beliau. Daniel menghadapi sedikit masalah dengan corak permainan Liverpool kerana rangkaian 3 pemain penyerang Liverpool iaitu Mo Salah, Roberto Firmino & Sadio Mane sangat lincah. Berdasarkan pemerhatian saya, Daniel adalah seorang penyerang yang unik dan mengambil kira prestasi semasa Liverpool pada ketika ini, beliau merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk kekal bersama Liverpool dan memenangi piala bersama Liverpool. Sewaktu pra musim, beliau dilihat lebih tajam dan lebih cergas hasil dari regim latihan yang dibuat khas untuk beliau. Beliau tahu, peluang untuk bermain agak terhad dan setiap peluang yang diberi haruslah dimanfaat sebaiknya. Mengambil kira kepada gol penyamaan sewaktu bertemu Liverpool, beliau dilihat sebagai seorang pemain yang boleh memberikan nilai tambah kepada Liverpool. Peluang untuk Daniel disenaraikan di dalam kesebelasan utama agak terhad melainkan berlaku kecederaan atau penggantungan kepada salah satu dari trio serangan Liverpool. Pandangan saya, Daniel mungkin akan diturunkan dalam Piala FA, Liga Juara Eropah dan mungkin 10-15 perlawanan liga dan mengambil kira Fabinho yang masih lagi bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liverpool. Jika semua memainkan peranan dan menyumbang sesuatu yang baik kepada pasukan, ini boleh memberikan manfaat kepada pasukan itu sendiri.

Jangan lupa mengikuti Stadium Astro di semua platform laman sosial mereka untuk mengetahui siapakah lagenda PL seterusnya yang akan hadir ke Kuala Lumpur!

Artikel oleh: Mazri Afandi

Ikuti kami juga di
Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Twitter: @LPI_MY
Instagram: @lpi_my

(Visited 32 times, 2 visits today)

Leave a Reply