Arsenal akan kembali beraksi dalam Liga Perdana 2018/2019 selepas tamat minggu perlawanan antarabangsa, dengan mengunjungi kelab utara England, Newcastle United.

Skuad Unai Emery akan melalui perjalanan sejauh 394 kilometer ke utara England, untuk aksi Liga Perdana pada lewat tengah malam Sabtu (waktu Malaysia), 15 September 2018.

Nasib berbeza di antara dua buah kelab ini, kerana Arsenal mahu meneruskan rentak kemenangan selepas memenangi dua perlawanan terakhir mereka, manakala Newcastle United masih lagi bergelut untuk mendapatkan tiga mata pertama musim ini.

Newcastle United hanya memperoleh satu mata sahaja dari empat perlawanan, tewas tiga kali dan hanya mampu seri dengan kelab baru naik liga, Cardiff City pada 18 Ogos 2018. Mereka telah tewas kepada Tottenham Hotspur, Chelsea, dan Manchester City.

Arsenal sudah mendapat dua kemenangan setakat ini selepas menewaskan West Ham United dan Cardiff City. Kemenangan ketiga ke atas Newcastle akan menaikkan lagi moral pasukan selepas tewas dua perlawanan pertama Liga Perdana kepada Manchester City dan Chelsea.

Rekod pertembungan di antara Newcastle United dan Arsenal lebih memihak kepada Arsenal dengan The Gunners telah memenangi 9 dari 10 perlawanan terakhir dalam Liga Perdana sejak musim 2012/2013.

Newcastle membuat kejutan dalam pertembungan terakhir mereka musim lepas, apabila jaringan Ayoze Perez dan Matt Ritchie membolehkan mereka menang 2 – 1 ke atas barisan pemain Arsene Wenger di Stadium St. James Park.

Rekod 5 perlawanan Liga Perdana terakhir Newcastle menentang Arsenal di Stadium St. James Park

2017/2018: Newcastle United (2) – (1) Arsenal
2015/2016: Newcastle United (0) – (1) Arsenal
2014/2015: Newcastle United (1) – (2) Arsenal
2013/2014: Newcastle United (0) – (1) Arsenal
2012/2013: Newcastle United (0) – (1) Arsenal

Berita pasukan

Kapten Arsenal, Laurent Koscielny masih lagi dalam proses pemulihan dari kecederaan Achilles, dan dijangka akan boleh bermain pada November 2018. Carl Jenkinson, Ainsley Maitland-Niles, dan Sead Kolasinac masih lagi berada dalam senarai kecederaan panjang.

Arsenal dijangka dapat menggunakan kembali khidmat pemain muda Nigeria, Alex Iwobi yang diketepikan ketika perlawanan menentang Cardiff City yang lalu.

Selain itu, Unai Emery tidak mempunyai masalah pemilihan pemain untuk perlawanan minggu ini. Persoalan yang bermain di minda peminat Arsenal ialah bilakah penjaga gol baru dari Jerman, Bernd Leno akan membuat debut kompetitif Arsenal?

Rafael Benitez berharap empat orang pemain utamanya cergas sepenuhnya untuk perlawanan ini. DeAndre Yedlin (Amerika Syarikat) dan Salomon Rondon (Venezuela) dijangka akan diturunkan juga walaupun pulang lewat ke kem latihan kerana tugasan antarabangsa.

Manakala pemain tengah, Jonjo Shelvey, dan pemain sayap, Matt Ritchie juga berusaha untuk memastikan cergas sepenuhnya untuk membantu Newcastle United membuat satu lagi kejutan ke atas Arsenal.

Adakah skuad baru Arsenal di bawah pengurusan Unai Emery mampu meneruskan rentak positif mereka, atau Newcastle berjaya di laman sendiri pada hari minggu ini? Sama-sama kita saksikan.

Artikel Oleh : Aizat Hanafi

Ikuti kami juga di:
Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 32 times, 1 visits today)

Leave a Reply