Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini belum pernah menang dalam kesemua perlawanan yang dikendalikan oleh beliau sama ada di Dortmund mahupun Liverpool. Selepas permulaan yang baik untuk skuad kendaliannya musim ini sebelum rehat antarabangsa, dilihat Jurgen Klopp bakal menamatkan rekod buruk beliau di Wembley apabila menentang Tottenham pada perlawanan minggu ke 5 bagi Premier League(PL) minggu ini.

Bagi Tottenham pula, selepas mencatatkan rekod terbaik bagi pasukan mereka dalam bulan Ogos dibawah kendalian Mauricio Pochettino dengan tiga kemenangan dalam 3 perlawanan, mereka terpaksa kembali berpijak dibumi yang nyata apabila tunduk kepada Watford 2-1.

Keputusan tersebut membuatkan rekod tanpa kalah Tottenham pada bulan September sejak musim 2014-2015 lebur dan mereka berkemungkinan mencatatkan kekalahan kedua berturut-turut pada bulan September sejak musim 2009-2010.

Pertembungan di Wembley ini dijangka sengit kerana Tottenham hanya kalah dua sahaja perlawanan di Wembley musim lalu dan berjaya menjaringkan gol dalam kesemua perlawanan yang mereka lalui di stadium tersebut manakala kunjungan terakhir anak buah Jurgen Klopp berakhir dengan pasukannya dibelasah 4-1 oleh Tottenham musim lalu.

Liverpool bermula dengan baik musim ini, dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan awal saingan PL seperti biasa, mereka tiada masalah bagi menjaringkan gol dan ditambah dengan rekod pertahanan yang baik musim ini.

Liverpool hanya dibolosi sekali sahaja dalam 17 perlawanan mereka yang terbaru dalam saingan PL ketika Virgil van Dijk bermula sebagai pemain utama.

Kali terakhir Liverpool memenangi empat perlawanan perlawanan liga berturut-turut pada musim 1990/1991 dan mengakhiri saingan liga ditempat kedua dibelakang Arsenal ketika itu. Dan mereka pernah mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dalam enam perlawanan pembukaan liga pada musim 1978-1979 dimana mereka berjaya memenangi liga pada musim tersebut.

Tottenham ketika ini berhadapan dengan masalah kecederaan bagi beberapa pemain utama mereka seperti ketua pasukan, Hugo Lloris yang terpaksa diketepikan buat sementara akibat kecederaan peha.

Dele, Moussa Sissoko dan Vincent Janssen juga terpaksa diketepikan akibat kecederaan, manakala bagi Liverpool pula, tiada kecederaan baru dilaporkan, Cuma Dejan Lovren terpaksa diketepikan lebih daripada sebulan kerana kecederaannya yang agak serius dan juga Adam Lallana berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan akibat kecederaan yang menimpanya ketika berlatih bersama skuad England minggu lalu.

Bagi pembaca sekalian, mampukah Liverpool meneruskan rentak kemenangan mereka ini walaupun selepas rehat antarabangsa, ataupun mereka bakal ditewaskan buat kali pertama musim ini? Sama-sama kita saksikan pada jam 7.30malam waktu Malaysia pada 15 September ini.

 

Artikel Oleh : A.Mashud

Disunting oleh: Afiq Shari

Sumber foto: Sky Sports

Ikuti kami juga di:
Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 49 times, 1 visits today)

Leave a Reply