Hai, bertemu lagi kita dalam ruangan Istimewa LPIMY bersama Paul Lambert, kali ini untuk bahagian dua. Penulis percaya bahawa pembaca telah membaca intipati temubual kami bersama beliau sebelum ini. Jika belum, sila klik di sini

Berikut adalah sambungannya…

LPIMY (L): Seterusnya adalah soalan dari salah seorang pengikut kami. Apakah keputusan yang paling sukar untuk dibuat oleh seorang pengurus ketika hari perlawanan?

Paul Lambert (P): Saya fikir salah satu keputusan terbesar ialah terpaksa meninggalkan beberapa pemain, yang mana mereka fikir mereka layak bermain. Ia adalah satu keputusan yang besar untuk dibuat. Ia bukanlah satu keputusan yang mereka mahu dengar tetapi anda harus menyusun kesebelasan utama dan bangku simpanan dan kemudiannya anda berharap anda telah melakukan keputusan yang tepat.

L: Anda seorang berbangsa Scotland. Bercakap tentang bola sepak Scotland, apakah pendapat anda tentang bakat muda yang semakin menyinar di Liverpool yang juga merupakan kapten baharu pasukan kebangsaan Scotland, Andrew Robertson dan apakah kualiti yang akan dibawa beliau ke dalam skuad kebangsaan?

Bek kiri Liverpool, Andrew Robertson kini merupakan kapten pasukan kebangsaan Scotland (Foto: HITC)

P: Saya rasa beliau telah melakukan kerja yang sangat baik di Liverpool. Tentunya apabila dilantik sebagai kapten, beliau mempunyai tanggungjawab yang besar dan beliau memerlukan sokongan dari rakan-rakan sepasukan beliau. Saya rasa ia adalah pilihan yang bijak untuk menjadikan beliau sebagai kapten. Beliau cemerlang di Liverpool setakat ini, okey mungkin ada sedikit kekecewaan dalam Champions League, kita tidak tahu bilakah peluang itu akan tiba lagi, tetapi setakat ini, karier beliau berjalan dengan sangat baik.

L: Bagaimana pula pendapat anda tentang pemain-pemain Scotland lain di Premier League ketika ini seperti Scott McTominay di Manchester United dan Robert Snodgrass di West Ham United? Adakah pemain Scotland semakin baik di PL?

P: Ada satu atau dua pemain yang baik, tetapi yang paling penting adalah pasukan kebangsaan kerana kami perlu layak ke kejohanan besar. Ia sudah terlalu lama Scotland tidak layak, saya rasa kali terakhir adalah ketika saya bermain. Harapnya pemain seperti McTominay, Snodgrass dan pemain-pemain sebegitu membantu. Kami perlukan semua untuk membantu untuk melayakkan kami ke kejohanan major.

L: Apakah nasihat yang anda ingin berikan kepada pengurus-pengurus bola sepak baharu terutamanya di Malaysia?

P: Kadangkala anda perlu menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka. Jadi seorang yang rendah diri, ia amat penting. Anda harus mendapatkan yang terbaik dari pemain-pemain anda, dan para peminat amat penting untuk anda.

L: Apakah pendapat anda tentang bola sepak Asia ketika ini?

P: Ia semakin baik, ia semakin kuat. Saya tidak rasa ada pasukan yang lemah ketika ini. Jika anda menonton Piala Dunia, anda lihat Jepun contohnya, anda dapat lihat bola sepak di seluruh dunia semakin mantap dan ia terus menyinar dan menyinar. Asia juga adalah pasaran yang besar. Dalam beberapa tahun lagi, mereka akan jadi lebih kuat.

Jangan lupa mengikuti Stadium Astro di semua platform laman sosial untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan siapakah lagenda Premier League seterusnya yang akan hadir ke Kuala Lumpur selepas ini!

Tamatlah sudah temubual LPIMY bersama Paul Lambert kali ini. Doakan jika kami dapat bertemu dengan lebih banyak pakar bola sepak selepas ini!

Temubual oleh: Afiq Shari

Ikuti kami juga di
Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Twitter: @LPI_MY
Instagram: @lpi_my

#LPIMY

 

(Visited 64 times, 1 visits today)

Leave a Reply