Pemain kerdil, Santi Cazorla sedang menjalani latihan bersama skuad remaja Alaves, untuk kembali cergas setelah lama berehat akibat kecederaan berpanjangan.

Cazorla, yang akan dilepaskan Arsenal pada hujung bulan Jun 2018, menamatkan karier enam tahun di Stadium Emirates di mana dia menjadi pemain penting skuad The Gunners.

Tetapi, karier Cazorla berubah apabila mengalami kecederaan Achilles, dan beberapa siri pembedahan dan kecederaan berulang, menyaksikan Cazorla beraksi untuk Arsenal buat kali terakhir pada bulan Oktober, 2016.

Pemain berusia 33 tahun ini ingin kembali beraksi, dan mula berlatih bersama skuad remaja kelab La Liga Sepanyol iaitu Alaves yang memaparkan sesi latihan beliau melalui Youtube.

“Saya berterima kasih kepada Alaves kerana membenarkan saya menggunakan kemudahan pusat latihan mereka. Kemudahan pusat latihan mereka sangat bagus, dan mereka mahu meningkatkannya lagi di masa depan,” kata beliau lagi.

“Saya mengalami pengalaman yang baik bersama skuad remaja ini, dan saya akan pastikan mereka menikmati dan menghargai pengalaman ini,” tambahnya lagi.

Walaubagaimanapun, Cazorla mungkin tidak akan menyertai kelab Basque ini, kerana Villarreal antara destinasi pilihan untuk mendapatkan khidmatnya.

Santi menyertai Arsenal dari kelab La Liga, Malaga pada bulan Jun 2012, bersama Lukas Podolski, dan Olivier Giroud. Kebolehannya mengawal bola dengan baik menggunakan kedua belah kakinya, dan mengubah corak permainan dari bahagian tengah menyaksikan dia serta-merta menjadi pemain kesukaan peminat Arsenal.

Dia membuat 180 penampilan, menjaringkan 29 gol, dan membuat 45 kali bantuan gol dalam semua kejohanan sepanjang enam tahun di London. Dia membantu Arsenal memenangi dua Piala FA pada tahun 2014 dan 2015.

Artikel Oleh : Aizat

Sumber:Bilakah Cazorla Kembali?

Ikuti kami juga di:
Facebook : Liga Perdana Inggeris Malaysia
Instagram : @lpi_my
Twitter: @LPI_MY

#LPIMY

(Visited 45 times, 2 visits today)

Leave a Reply