Ia bukanlah satu musim yang baik buat Arsenal kali ini.
Tidak beraksi di Liga Juara-Juara, sebelum Alexis Sanchez meninggalkan kelab, seterusnya Arsene Wenger mengumumkan perletakan jawatan, pelbagai momen telah berlaku buat mereka dalam musim 2017-18 ini.
Reviu prestasi pasukan
Premier League: Tempat ke-6
Carabao Cup: Naib juara
FA Cup: Pusingan ketiga
Europa League: Separuh akhir
Community Shield: Pemenang
Mereka memulakan musim dengan baik, menewaskan Chelsea dalam penentuan penalti Community Shield.
Dalam Premier League, mereka tahu ia akan menjadi satu musim yang sukar. Dari 7 perlawanan pertama, mereka hanya menang 4 dan tewas 2 dari 3 perlawanan pertama, termasuk dimalukan di hadapan penyokong Liverpool dengan keputusan 0-4.
Arsenal cuba memperbaiki rentak mereka selepas itu dengan menang 5 dari 8 perlawanan seterusnya, termasuk membelasah Everton 5-2 dan membenam musuh setempat, Tottenham 2-0.
Selepas tewas kepada Manchester United, mereka mencatatkan 6 keputusan seri dari 8 perlawanan, sebelum rentak mereka sering bersilih ganti terutamanya gagal memungut sebarang mata di tempat lawan pada tahun 2018 sehinggalah pada perlawanan terakhir liga (menang ke atas Huddersfield 1-0).
Dalam saingan Carabao Cup, Arsenal menang tipis ke atas dua pasukan bukan PL dalam dua pusingan pertama, sebelum menang ke atas West Ham dan seterusnya Chelsea di separuh akhir untuk melangkah ke final. Sayangnya, Manchester City menafikan peluang mereka untuk bergelar juara dengan keputusan 3-0.
Ia bukanlah sesuatu yang ingin diingati Arsenal dalam FA Cup musim ini selepas tersingkir terlalu awal selepas dikecewakan Nottingham Forest di pusingan ketiga.
Di Europa League, Arsenal hanya tewas satu perlawanan di peringkat kumpulan. Layak ke pusingan 32 sebagai juara kumpulan, mereka menewaskan Ostersunds, AC Milan, CSKA Moskva sehinggalah tewas di separuh akhir menentang Atletico Madrid, sekaligus menafikan percubaan terakhir Arsene Wenger untuk menjulang trofi terakhir beliau bersama kelab itu.
Pemain Terbaik

Foto: Getty Images

Penulis memilih Nacho Monreal sebagai pemain terbaik Arsenal untuk musim ini.
Sejak awal musim, pemain ini telah menunjukkan prestasi yang amat baik terutamanya ketika beliau diletakkan sebagai ‘left wing back’. Rekodnya sebagai pertahanan mungkin tidak begitu baik, tetapi beliau seringkali menunjukkan peningkatan di bahagian serangan malah turut menjaringkan 6 gol musim ini.
Prestasi Terbaik
Biarpun musim yang dilalui skuad ini agak getir, ada beberapa perlawanan pasukan Arsenal harus dipuji.
Antara yang bermain di minda adalah ketika mereka menewaskan Milan di San Siro dalam Europa League, dan tidak boleh dilupakan ketika mereka membelasah Everton. Separuh masa pertama perlawanan tersebut adalah sesuatu yang sangat menggembirakan seluruh peminat mereka.
Apa pun, kemenangan ke atas Tottenham dengan keputusan 2-0 seharusnya dihamburkan pujian terhadap mereka. Ia adalah satu persembahan yang hebat!
Pembelian Terbaik
Alexis Sanchez.
Maaf, saya bergurau. Pastinya Pierre-Emerick Aubameyang!
Pemain ini tiba dengan tag harga 56 juta pound, dan telah pun memperbaiki sedikit sebanyak jentera serangan Gunners. Tetapi Henrikh Mkhitaryan juga tidak dilupakan.
Harapan dan apa yang boleh diperbaiki musim hadapan

Merci Arsene!

Dengan tiada lagi Arsene Wenger, sememangnya harapan yang diletakkan untuk pengurus baharu nanti adalah tinggi kerana Arsenal tidak bermain dengan baik dalam beberapa tahun ini.
Pengurus baharu tersebut juga harus memperbaiki apakah rencah yang diperlukan dalam benteng pertahanan Arsenal yang mudah bocor dalam beberapa perlawanan musim ini.
Selain itu, rentak Mesut Ozil juga harus dicari semula kerana kadangkala dilihat pemain ini gagal menterjemahkan tahap permainan sebenar beliau.
Artikel oleh: PL Addict
Ikuti kami juga di
Facebook: Liga Perdana Inggeris Malaysia
Twitter: @LPI_MY
Instagram: @lpi_my
(Visited 130 times, 1 visits today)

Leave a Reply